job2.jpg

KERANA DIA SEORANG UMI


'Tetapi tiada siapa pernah mengatakan umi mu cacat, dia tetap cantik, pada abah dia satu-satunya wanita paling cantik yang pernah abah temui...'
--------------
“Nurse, boleh saya tengok bayi saya?” umi muda yang baru bersalin itu bersuara antara dengar dan tidak kepada seorang jururawat. Sambil tersenyum jururawat membawakan bayi yang masih merah itu. Si umi menyambut dengan senyum meleret. Dibuka selimut yang menutup wajah comel itu, ciumnya berkali-kali sebaik bayi tersebut berada di pangkuan.

Jururawat kemudian mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan si umi yang terperanjat melihat bayinya dilahirkan tanpa kedua-dua cuping telinga. Namun gamamnya cuma seketika. Dakapan dan ciuman silih berganti sehingga bayi yang sedang lena itu merengek. Doktor bagaimanapun mengesahkan pendengaran bayi itu normal, sesuatu yang cukup mengembirakan si umi.

Masa terus berlalu…

Pulang dari sekolah suatu tengahari, anak yang tiada cuping telinga itu yang kini telah memasuki alam persekolahan menangis memberitahu bagaimana dia ejek rakan-rakan. “Mereka kata saya cacat,” katanya kepada si umi.

Si umi menahan sebak. Dipujuknya si anak dengan pelbagai kata semangat. Si anak menerimanya dan dia muncul pelajar cemerlang dengan menyandang pelbagai jawatan di sekolah. Bagaimanapun tanpa cuping telinga, si anak tetap merasa rendah diri walaupun si umi terus memujuk Abah kanak-kanak itu bertemu doktor. “Saya yakin dapat melakukannya jika ada penderma,” kata pakar bedah. Bermulalah suatu pencarian bagi mencari penderma yang sanggup berkorban.

Setahun berlalu…

“Anakku, kita akan menemui doktor hujung minggu ini. Umi dan abah telah mendapatkan seorang penderma, tapi dia mahu dirinya dirahsiakan,” kata si abah. Pembedahan berjalan lancar dan akhirnya si anak muncul sebagai manusia baru, kacak serta bijak. Pelajarannya tambah cemerlang dan rasa rendah diri yang kerap dialaminya hilang.

Rakan-rakan memuji kecantikan parasnya. Si anak cukup seronok, bagaimanapun dia tidak mengabaikan pelajaran. Pada usianya lewat 20-an, si anak menjawat jawatan tinggi dalam bidang diplomatik.

“Sebelum saya berangkat keluar negara, saya ingin tahu siapakah penderma telinga ini, saya ingin membalas jasanya,” kata si anak berkali-kali.”Tak mungkin,” balas si abah. “Perjanjian antara abah dengan penderma itu masih berjalan. Tunggulah, masanya akan tiba.”

“Bila?” tanya si anak.

“Akan tiba masanya anakku,” balas si abah sambil uminya mengangguk-angguk. Keadaan terus kekal menjadi rahsia bertahun-tahun lamanya.

Hari yang ditunggu tiba akhirnya. Ketika si anak berdiri di sisi keranda uminya, perlahan-lahan si abah menyelak rambut uminya yang kaku.

Gelap seketika pandangan si anak apabila melihat kedua-dua cuping telinga uminya tiada.

“Umi mu tidak pernah memotong pendek rambutnya,” si abah berbisik ke telinga anaknya. “Tetapi tiada siapa pernah mengatakan umi mu cacat, dia tetap cantik, pada abah dia satu-satunya wanita paling cantik yang pernah abah temui. Tak percaya… tanyalah pada sesiapa pun kenalannya.”

Si anak kaku..

0 kOmEn uNtuK BuDaK cOmoT: